ISU SEMASA

Thursday, March 18, 2010

PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 4 TAHUN 2010

PEMANSUHAN BAYARAN WAD KEPADA PEGAWAI DANPESARA PERKHIDMATAN AWAM

TUJUAN
1. Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan memaklumkan keputusan Kerajaan untuk memansuhkan bayaran wad yang dikenakan kepada pegawai dan pesara Perkhidmatan Awam apabila dimasukkan ke hospital Kerajaan untuk mendapatkan rawatan.

LATAR BELAKANG
2. Peraturan semasa menetapkan bahawa pegawai dan pesara Perkhidmatan Awam, ahli keluarga dan ibu bapa yang sah yang dimasukkan ke hospital Kerajaan untuk mendapatkan rawatan akan dikehendaki membayar bayaran wad mengikut kadar yang ditetapkan.

3. Tafsiran “pegawai”, “keluarga pegawai” dan “ibu bapa yang sah” adalah merujuk kepada tafsiran di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 21 Tahun 2009 atau pindaan dari semasa ke semasa.PELAKSANAAN

4. Kerajaan telah memutuskan bahawa bayaran wad yang dikenakan kepada pegawai dan pesara Perkhidmatan Awam, ahli keluarga dan ibu bapa yang sah semasa mendapatkan rawatan di hospital Kerajaan dimansuhkan.

5. Pemansuhan bayaran wad ini tidak menjejaskan kelayakan wad yangditetapkan kepada pegawai. Kelayakan wad adalah berdasarkan gred pegawai seperti yang ditunjukkan dalam jadual di bawah, tertakluk kepada fasiliti yang disediakan oleh pihak hospital:Kumpulan/ Gred Kelayakan wadPengurusan Tertinggi, 45-54-Kelas 1 Bilik Seorang31 – 44 Kelas 1 Bilik Berdua21 – 30 Kelas 1 Bilik Bertiga1 – 20 Kelas 2

6. Kelayakan wad untuk ahli keluarga dan ibu bapa yang sah adalahberdasarkan kelayakan yang ditetapkan kepada pegawai.

7. Kelayakan wad untuk pesara dan ahli keluarga adalah berdasarkan gred hakiki terakhir pegawai sebelum bersara.

8. Jika pegawai atau pesara Perkhidmatan Awam atau ahli keluarga atau ibu bapa yang sah meminta untuk dimasukkan ke dalam wad yang lebih tinggi dari kelayakannya, maka pegawai atau pesara berkenaan akan dikehendaki membayar bayaran wad mengikut kadar yang ikenakan kepada orang awam. Pegawai dan pesara juga dikehendaki membayar deposit sebelum dimasukkan ke wad yang lebih tinggi mengikut kadar yang ditetapkan.PEMBATALAN

9. Dengan berkuat kuasanya Pekeliling Perkhidmatan ini, perenggan C2berkaitan kelayakan dan kadar bayaran wad di Lampiran C8, PekelilingPerkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002, perenggan 11 berkaitan kadar bayaran wad sehari di Lampiran O, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 1991 dan Bahagian J berkaitan permohonan perbelanjaan bagi rawatan di luar negeri di Lampiran B, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 21 Tahun 2009 adalah dibatalkan.

TARIKH KUAT KUASA
10. Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai 1 April 2010.

PEMAKAIAN
11. Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

(TAN SRI ISMAIL ADAM)
Ketua Pengarah Perkhidmatan AwamMalaysia
JABATAN PERKHIDMATAN AWAMMALAYSIAPUTRAJAYA
5 Mac 2010

Semua Ketua Setiausaha Kementerian
Semua Ketua Jabatan Persekutuan
Semua Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri
Semua Pihak Berkuasa Berkanun
Semua Pihak Berkuasa Tempatan